SEJARAH PUSAT PENYU
SEJARAH
Pusat Pengurusan Penyu Padang
Kemunting telah ditubuhkan pada tahun 1990 dan telah dirasmikan pada hari Khamis,
3 Julai 1997 oleh Y.A.B. Datuk Abu Zahar
bin Haji Isnin. Pusat Pengurusan Penyu Padang Kemunting diuruskan oleh
Jabatan Perikanan Melaka bertujuan untuk pemuliharaan dan pemantauan kehidupan
penyu terutama Penyu Karah di kawasan pantai Melaka. Pusat Pengurusan Penyu
Padang Kemunting berperanan sebagai
sebuah tempat penetasan dan pusat
maklumat yang menempatkan ruang untuk pameran/ galeri dan bilik audio
visual.
Penyu telah wujud sekitar 100 juta
tahun lalu dengan keadaan fizikalnya kekal seperti zaman dinosaur. Di dunia terdapat tujuh (7) spesis penyu dan hanya
empat (4) spesis tersebut mendarat di Malaysia iaitu penyu Belimbing (Dermochelys
coriacea), Agar atau Hijau (Chelonia mydas), Karah atau Sisik (Eretmochelys
imbricata) dan Lipas (Lepidochelys olivacea). Daripada empat spesies terbabit,
Penyu Karah adalah penyu tercantik di dunia kerana ia mempunyai bentuk paruh mulut
seperti paruh burung helang, cengkerang yang keras dan nampak seperti sisik-sisik
bertindih dengan warna badannya adalah coklat seakan-akan corak perang keemasan.
Keunikkan tersebut menyebabkan ramai orang menggunakan cengkerang tersebut
sebagai hiasan dan telur penyu di dalam hidangan makanan penduduk tempatan.
Disebabkan oleh faktor ini, Penyu
Karah sering diburu selama beberapa dekad untuk cengkerang dan telur
mereka. Aktiviti nelayan yang menggunakan
pukat dan jaring yang diharamkan juga memberi kesan terhadap penyu sebagai
contoh kes beberapa ekor Penyu Karah telah mati tersangkut pada jaring. Pusat
Pengurusan Penyu Padang Kemunting telah mengambil langkah memelihara dan
mempamerkan Penyu Karah yang masih hidup hasil dari rampas daripada nelayan
Hainan. Akta Perikanan (Penyu dan Telur
Penyu) telah digubal pada tahun 1989 untuk melindungi telur penyu dengan mengharamkan
aktiviti menjual dan memakan telur penyu. Hanya
pemungut telur berlesen
sahaja dibenarkan untuk mengumpul
telur penyu tersebut. Semua telur penyu yang telah dikutip akan dieram dan
penetasan dilakukan di Pusat Pengurusan Penyu Padang Kemunting.
Masalah bilangan penyu yang semakin berkurangan telah
menyebabkan Pusat Pengurusan Penyu Padang Kemunting
berusaha keras untuk menyelamatkan penyu ini dari kepupusan. Malah, Pusat Pengurusan
Penyu Padang Kemunting bersama-sama dengan Badan Persekutuan Dunia Hidupan Liar
(WWF) telah mengambil langkah untuk menyelamatkan penyu ini dengan memantau
kemunculan penyu di kawasan pantai Melaka bagi memastikan telur-telur tidak
dicuri dan penyu dapat bertelur dengan selamat sehingga menetas.
Melaka merupakan tempat
penetasan telur Penyu Karah yang kedua terbesar dan terbanyak pendaratan di
Asia Tenggara, selepas Pulau Penyu Sabah dengan purata 400 ekor Penyu Karah mendarat
di pantai negeri tersebut. Pusat penetasan telur penyu utama di Melaka
adalah Pulau Upeh, Kem Terendak, Padang
Kemunting, Tanjung Bidara, Balik Batu, Pasir Gembur, Tanjung Dahan, Tanjung
Serai dan Meriam Patah. Manakala, Pulau Upeh merupakan tempat penetasan telur Penyu
Karah yang tertinggi di Melaka.
Penyu Karah mempunyai bersaiz
sederhana dan boleh membesar sehingga 70 hingga 90 sentimeter (cm) manakala
berat badannya di antara 35 hingga 75 kilogram (kg). Malah, spesies ini akan
bertelur antara empat hingga lima kali setahun untuk bertelur dengan setiap
sarang mengandungi antara 100 hingga 130 biji. Telurnya berwarna putih dengan
kulit yang lembik dan berukuran garis pusat lebih kurang lima sentimeter. Penyu
Karah boleh hidup lama dan untuk matang ia mengambil masa antara 20 hingga 50
tahun sebelum pulang semula ke pantai berpasir untuk bertelur.
Spesies penyu ini
kebanyakannya terdapat di kawasan terumbu karang dan makanan utamanya adalah
span dan karangan lembut yang terdapat di kawasan tersebut. Musim bertelur
adalah di antara bulan Mac dan September manakala bulan Mei, Jun dan Julai
merupakan waktu kemuncak penyu bertelur. Terdapat fakta menunjukkan bahawa
daripada 5,000 hingga 10,000 ekor anak penyu yang dilepaskan ke laut hanya
seekor mendarat balik ke lokasi asalnya untuk bertelur semula.
Sekiranya anda berminat, jangan
lepaskan peluang untuk melihat penyu Karah dengan lebih dekat lagi. Anda boleh datang terus ke :
Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang
Kemunting,
78300 Masjid Tanah, Melaka,
Malaysia.
2.308139, 102.074889 (GPS)
Pusat Pengurusan Penyu Padang
Kemunting dibuka kepada orang ramai pada setiap hari Selasa
hingga Ahad (kecuali cuti umum).
Bagi
maklumat lanjut, sila hubungi :
En. Mohamad : 019 - 644 3925
Cik Fiza : 017 - 632 4854
No comments:
Post a Comment